Setitik dakwat mampu membuat sejuta manusia berfikir tentangnya.

jihada izzah

Kata Imam al-Ghazali, jika cinta yang sekadar dapat dicapai dengan pancaindera yang 5 – deria sentuh, bau, lihat, dengar, rasa – maka itu belum cinta yang hakiki. Hanya cinta yang dapat dirasa dengan deria keenam (hati), barulah ia cinta yang hakiki.


Hakikatnya, itulah cinta yang dialirkan ALLAH ke dalam hati. Ia lahir dari dalam ke luar, bukan sebaliknya. Ia bukan dari mata turun ke hati, tetapi dari hati turun ke mata dan lain-lain anggota. Itulah cinta yang benar, suci lagi murni. Cinta inilah yang dikhusukan buat manusia sesuai dengan martabatnya sebagai makhluk yang paling sempurna. Cinta ini bukan diukur menurut pandangan mata kepala, tetapi mengikut pandangan mata hati. Cinta itu datang dari ALLAH dan diberi sebagai bekal untuk mendapat kecintaan ALLAH.


Imam al-Ghazali menyenaraikan beberapa jenis cinta, yang semuanya sewajarnya ‘pulang’ kepada Pencipta cinta – ALLAH:


Cinta kepada kesempurnaan dan kekekalan diri


Setiap manusia cinta akan kekekalan dan kesempurnaan dirinya. Tiada siapa pun yang mahukan kekurangan, kebinasaan, dan kematian. Walaupun diri mencintai orang lain, hakikatnya cinta itu pulang kepada dirinya. Sebagai contoh, cinta ibu pada anaknya, kerana inginkan kelangsungan keturunan buat dirinya. Justeru, siapa yang kenal diri dan mengenal ALLAH, maka dia pasti mencintai ALLAH justeru kesempurnaan dan kekekalan hidup adalah bersumber dari ALLAH jua.


Cinta kepada sesiapa yang berbudi


Hati manusia akan jatuh cinta pada sesiapa yang berbudi kepadanya. Umpamanya, kepada yang member wang, harta, sokongan dan nasihat kepadanya. Maka, jika kita cinta pada orang yang berbudi, tentu kita akan jatuh cinta kepada ALLAH kerana hakikatnya semua budi yang diberikan oleh manusia datang dari ALLAH.


Cinta kepada seorang budiman walaupun budinya tidak dirasai


Manusia boleh jatuh cinta pada orang yang baik walaupun dia sendiri tidak merasai kebaikan orang itu. Contohnya, jika diberitakan kepada kita seorang hartawan, negarawan, atau bangsawan yang sangat pemurah kepada fakir miskin, anak2 yatim, dsb.. secara automatik kita jatuh cinta pada orang itu walaupun kita tidak merasai pemberiannya. Siapa tidak cinta pada Saidina Abu Bakar yang kita tahu begitu tinggi budinya? Hakikat ini mewajarkan kita mencintai ALLAH kerana kita tahu DIAlah yang menaburkan nikmat dan kebaikan kepada seluruh manusia.


Cinta kepada sesuatu yang indah


Semua orang cinta pada yang indah. Cinta pada keindahan terbahagi kepada dua: Pertama, cinta pada keindahan yang terjangkau dek pancaindera – bau, rasa, penglihatan, sentuhan, pendengaran . Kedua, cinta pada keindahan yang hanya dijangkau oleh hati. Cinta pertama adalah cinta kelas bawah kerana ia dapat dijangkau oleh kanak-kanak dan haiwan manakala cinta yang kedua adalah cinta ‘kelas atas’ yang dapat dijangkau oleh manusia yang punya mata hati. Mata hati dapat melihat yang tersirat disebalik tersurat, dapat melihat Pemberi nikmat di sebalik nikmat…. Jika benarlah kita mencintai keindahan, maka kita pasti mencintai ALLAH. Sayangnya, ramai yang kagum dengan keindahan alam yang memang indah, tapi terlindung dari ‘melihat’ keindahan ALLAH yang jauh lebih indah. Rasulullah saw telah bersabda;


“ALLAH itu indah, dan cinta pada keindahan.” (Riwayat Muslim)


Cinta seseorang atau sesuatu yang serasi (secocok)


Manusia akan jatuh cinta kepada sesuatu atau seseorang yang serasi dengannya. Misalnya, orang yang mempunyai hobi yang sama akan suka berdamping dengan orang yang mempunyai hobi sama dengannya. Ahli ilmu dengan ahli ilmu, golongan professional sesama professional. Yang saling mengenal akan serasi, yang tidak mengenal akan menjauh, begitulah adatnya…


Jika diamati, sifat2 kesempurnaan ALLAH sebenarnya sangat serasi dengan jiwa manusia. Ketika ditimpa kezaliman, hati manusia merintih mahukan keadilan..ketika itu manusia sebenarnya telah merintih kepada ALLAH. Bukankah al-‘Adlu (Maha Adil) itu nama dan sifat ALLAH? Inilah fitrah yang telah di’install’ dalam diri manusia sejak awal penciptaannya. Namun, semuanya bergantung pada sejauh mana manusia itu menjaga dan menyuburkannya lagi.


Mempelajari nama2 ALLAH (Asma’ ul husna) membolehkan kita berakhlak dengan sifat2 ALLAH. Rasulullah saw bersabda;


“Sesungguhnya ALLAH swt mempunyai 99 nama – seratus kurang satu. Sesiapa sahaja yang menghafalnya (mencontohinya), dia akan masuk syurga.” (Riwayat Bukhari & Muslim).


Semakin banyak sifat2 ALLAH yang menjadi akhlak kita sehari-hari, semakin dekatlah kita dengan ALLAH.


Cinta ALLAH adalah cinta yang tertinggi. Cinta hari ini tidak ada atau kurang mantap cinta ALLAH sebagai asas cinta kepada manusia. Atau asas itu ada tetapi terlalu rapuh. Segala yang diidamkan manusia ada pada ALLAH. Bahkan, cinta itu sendiri datangnya dariNYA. Hukama’ ada mengatakan bahawa cinta adalah ‘hadiah’ terbesar daripada ALLAH untuk manusia. Dengan hadiah itu terciptalah perhubungan cinta sesama manusia.

“Kalau kamu hendak menghitung nikmat2 ALLAH, nescaya kamu tidak akan terhitung”. (Ibrahim 14:34)


sumber: Tentang CINTA oleh Pahrol Mohd Juoi
0 Responses

Post a Comment